Perjalanan aku ke Havana Cuba, negara sosialis ketiga yang aku lawati selepas China dan Chile.
Hable espanyol? mi habla solo un poco.. itu anatara bahasa sepanyol yang akau tahu selepas ke Santioga, Chile dan Buenos Aries, Agentina dulu. Di Havana keadaan dan sistem amat berbeza dan ada persamaannya dengan tempat asal aku. sila ikuti 'haba habana' yang sepatutnya diterbitkan bersama kumpulan catatan dan lakaran perjalanan oleh R.A tahun 2006..tapi aku masih menunggu.
dalam bas dari CDG airport ke Paris. Perlu ke Paris untuk ambil flight FrenchAir ke Cuba
HABA HABANA
oleh Amerrudin Ahmad
CDG
22 Mac 2006 atas pesawat AF 257 diparas ketinggian 17000 kaki diudara dibawahnya pesawat ini sedang melintasi banjaran gunung wilayah Turki dengan kelajuan 800 km sejam grafik di t.v pesawat mencatatkan indicator suhu diluar -20 dan 2 jam lagi akan tiba di Paris..
Transit di CDG (Charles De Goules Airport) lapan jam. Berkira-kira waktu dan belanja untuk ke kota Paris dan tentu sekali untuk melawat Louvre. Turun sebentar di aras satu. Tandas di sana kurang orang, boleh segarkan diri selepas 23 jam dalam pesawat. Jam 0800 pagi terus ke kaunter imegresen, tiada lagi penumpang yang check out hanya kami bertiga. Jalan masuk laluan bertali merah yang kekiri dan kekanan dan terus. Ada dua orang pegawai bertugas, lelaki dan wanita. Sebagai kepala rombongan lantikan sendiri, aku ke depan. 'bonjour' kataku dibalas juga begitu. Aku bertanya tentang kemungkinan kami dapat masuk ke Paris tanpa visa sementara menunggu waktu berlepas maklumlah di Singapura tadi kami disakat oleh budak imegresen yang beria-ia mahukan apa saja dokumen kemasukan kami ke Havana (Tidak perlu visa untuk ke Perancis dan Cuba). Pegawai imegresen Perancis ni tidak menunjukan tanda faham apa yang aku maksudkan, tapi dengan kasar si perempuan tu minta passport. Kami bagi. Aku cuba lagi, kali ni aku sebut Louvre Museum.Monalisa... dengan isyarat tangan tiga empat kali dan aa wi, Musee de Louvre katanya. Dia geleng kepala senyum kemudian mencebekkan mulut seraya mengangkat tangan kanan sambil menggoyangkan jari telunjuk. Katanya mustahil, kami harus naik kapal jam 1200, sekarang ni dah dekat 0830 gedebak gedebuk sampai paris pukul 0930, muzium buka jam 1000 takkan jam sebelas dah nak keluar. Muzium tu besar tak berbaloi jengok sekejap je. Kami ambil passport cakap 'merci' dan patah balik. Opps patah balik tanya dia boleh tak pergi paris tanpa visa. Dia kata okey boleh masuk tak ada masalah.
Kami rasa perlu juga pergi ke kota memandangkan dah sampai dan jam 0945 kami sampai ke Hotel Louvre (muzium Louvre lagi beberapa blok) setelah tanya orang dan jalan kaki agak jauh. Manon ngadu digigit sejuk , Khazrol dah pecah bibir. Jadi kami berhenti di cafe untuk minum kopi dan panaskan badan.
1100 naik bas kembali ke CDG. Bergelewar tiga jam disitu hingga naik pesawat ke Havana. Majoritinya penumpang kokasia yang berpakain kasual termasuk sekumpulan pemain rugbi veteran dari England. Jadi sepanjang sembilan jam berikutnya dalam pesawat hanya sunyi semasa waktu mereka lena selainnya parti dari kerusi depan sampai belakang.
Hose Marte Aeorpuerto International
23 mac 2006 jam 6.30 ptg waktu Cuba tiba di Hose Marte Aeorpuerto International sempena nama pejuang kemerdekaan abad ke 19.Beliau telah berjuang bersama rakyat Cuba menentang penjajahan Sepanyol di Cuba. Namun diambang kemenangan semasa Sepanyol mula berundur, Amerika Syarikat telah mengambil kesempatan dengan meletupkan kapalnya sendiri di pelabuhan Habana lalu menuduh Sepanyol dan terus melancarkan serangan ke atas tentera Sepanyol yang sememangnya telah lemah. Kemudiannya memaksa Sepanyol membuat perjanjian menyerahkan Guantanamo kepada Amerika Syarikat dan mendakwa merekalah yang membebaskan Cuba dari penjajahan Sepanyol. Peristiwa ini mengingatkan aku kepada sebuah buku memoir Tunku Abdul Rahman yang ada menceritakan ketika konfrantasi Malaysia dan Indonesia, Tunku telah di temui oleh seorang pegawai British di Malaya, beliau menawarkan penyelesaian kepada Tunku dengan cara meletupkan sebuah kapal British di Selat Melaka dan menuduh ianya angkara Indonesia, maka dengan ini kerajaan Empirealis akan mempunyai sebab untuk menyerang Indonesia. Armada dari Australia dan New Zealand dari selatan dan Amerika Syarikat dari Filipina akan menyerang angkatan Indonesia dan dengan bangga katanya dalam dua hari Indonesia akan tunduk kepada Barat. Kemudian Tunku membalas lebih kurangnya bermaksud begini “ hal ini tidak ada kena mengena dengan kamu, ini adalah masalah rumahtangga kami pergaduhan antara abang dan adik..”
Perjuangan pertama Cuba adalah membebaskan diri dari penjajah Sepanyol di abad ke 19. Kemudian kebangkitan popular berlaku pada tahun 1959 bilamana revolusi yang diketuai oleh Fidel Castro dengan bantuan Ernesto Che Guevera berjaya mendapat sokongan rakyat melalui perang gerila di Sieera Maestra dan menjatuhkan rejim Batista. Peristiwa ini berlaku setahun selepas penubuhan Balai Seni Lukis Negara, dan di tahun-tahun ini merupakan tahun hebat konflik Blok Timur dengan Blok Barat di seluruh dunia. Ini mendorong aku untuk memerah otak mencari contoh-contoh karya seni tampak dan pelukis negara kita pada tahun tersebut yang sedikit sebanyak terpengaruh/sedar dengan suasana permainan/percaturan politik global dan kesannya kepada rakyat dunia ke tiga diwaktu itu...
Selepas pesawat mendarat semua orang berpusu-pusu ke pintu masuk dewan imigrasi kelihatan nama kami pada kertas A4 dipegang oleh seorang wanita. Ola..buenos noches.. kemudian dia minta kami ikut laluan VIP untuk urusan imigresen. Pegawai wanita Afrikan rambut kerinting dengan mata bulat tanya soalan-soalan formal agak lama juga walaupun laluan VIP. Lepas keluar ke laluan ketibaan. Tiba-tiba dipanggil pula oleh lelaki berpakaian doktor untuk soalan dan pemeriksaan kesihatan. Terus muncul seorang lelaki satu-satunya yang nampak macam orang Asia, Assalamualaikum saya Samzah Janirin 3rd Secretary Kedutaan Malaysia di Cuba (juga untuk Jamaica, Barbados, dan beberapa negara Carribean lain) dengan bahasa Sepanyol ringkas dibantu isyarat tangan Samzah bebaskan kami dari doktor tu. Saya baru enam bulan..Spanish belum lancar, ni first posting..ramah Samzah sambil kami ikut wanita yang bawa nama kami ke VIP lounge .
Dalam lounge ternanti Hubert penterjemah dan L.O dari MinCult (Ministry of Culture) dan Clarissa Crise Kurator yang akan bekerja dengan kami. Buenos Noches welcome to Novena Habana Biennale..terus aku bayangkan yang mampukah kita menyediakan pegawai dan lounge Vip di KLIA untuk pelukis dan peserta biennale KL nanti. Tak apa nanti bos aku uruskan..
Kami diberikan salinan jadual aturcara khas untuk kami sementara menunggu seorang lagi artis dari Afrika Selatan; Sue Williamson. Difahamkan beliau mengalami masalah penerimaan bagasi yang tersasar laluan. Walaupun protocol MinCult ada menyediakan van, namun sebagai rasa berbesar hati kepada Samzah kami mengambil keputusan menaiki jip kedutaan yang sedang menunggu itu. Besok kata Hubert dia akan datang jemput jam 1000 pagi untuk mesyuarat dengan pengarah Boyeros galleria de Arte berkenaan pameran Coleteral ; Kata Di Kota.
Jam 1100 tiba di Hotel Melia Habana setelah 40 minit menaiki jip melalui jalan raya gelap dan kawasan pertanian Habana. Samzah dan John kerani kedutaan membantu kami check in. Seorang satu bilik di tingkat 8, ada balkoni mengahdap Lautan Atlantik, teringat rancangan awal untuk bawa sahabat artis yang sumbangkan idea dan karya; Ise, Sushi dan Chee Meng yang nak perform tak jadi tak cukup bajet.
Selepas ucapkan terima kasih dan selamat malam kepada Samzah kami simpan barang dan turun semula untuk cari makan.Tak ada orang dijalanan, polis kelihatan disetiap simpang, angin bertiup dingin. Ada sebuah kedai kaca makanan laut di hujung simpang,. Semua menu ala Mahattan Fish Shop, ada satu yang tulis seafood dan nasi goreng istimewa. Manon setuju sebab dah 2 hari tak makan nasi. Kami pesan sambil tunggu di meja luar restoran. Angin laut atlantik agak keras dan amat sejuk malam tu seolah memberi isyarat supaya kami batalkan saja niat dan balik tidur di bilik. Minuman tin yang suku penuh atas meja bergerak dan mengelonsor. Makanan dah sampai tiga nasi goreng seafood especial. Semua orang makan, nasi goreng kari ada udang dan sotong dan sotong kering di atasnya. Sotong kering ni nampak lain saja..nanti aku tanya kakak jurujual tu. Por pavor senyorita, mi aros con jamon? Tanyaku dan dia jawab 'ya nasi goreng tu istimewa ada letak ham atas dia'. Aku kembali ke meja dan maklumkan pada dua sahabat aku yang aku tak kisah kalau tak makan malam tu sebab sotong kering tu hamon. 'Hamon punya menu..'geromel Manon. Semua setuju kami balik tidur malam tu.
Rancho de Boyeros
Hubert datang dengan van dan pemandu. Dalam perjalanan beliau memberikan kami orientasi kawasan municipaliti kami, sekali kala kami menoleh ke kiri dan kanan tingkap van, kagum dengan kereta-kereta vintage yang sedang meluncur di atas jalan, macam-macam jenis ada yang sport, convertible dan super salon dari trak, kereta dan teksi. Manon luahkan kekaguman Cuba 'maintain' harta mereka. Inilah contoh aktiviti konservasi bersepadu kata aku, kerajaan wartakan kereta tersebut sebagai warisan negara, tak boleh jual atau eksport ke luar negara, rakyat yang berpengetahuan (pendidikan percuma sampai peringkat universiti ) memelihara khazanah tersebut dengan penuh bangga dan pulangannya ; menjadi tarikan pelancong. 'Kita sedang melalui kawasan Miramar' terang Hubert dengan mata yang bersinar beliau mengatakan sebelum revolusi kawasan ini adalah kawasa residen para jutawan dari Amerika dan saudagar-saudagar mafia yang lain. Kini ia telah dijadikan kawsan residensi dan pejabat-pejabat kedutaan termasuk di tepi jalan itu kelihatan kedutaan Malaysia, Viet Nam, Indonesia, Gnana dan lain-lain negara termasuk yang paling besar kedutaan Russia. Cuba merupakan sahabat perdagangan USSR sebelum perpecahan Kesatuan Soviet, banyak kemudahan kepakaran dan infrastruktur mereka dapat dari USSR. Kini tidak lagi USSR dah berpecah dan Cuba mendapat tekanan embargo pula dengan Amerika Syarikat. Hubert sambil mengangkat bahu dan kedua-dua tangan yang memberi gesture menyakinkan kami yang Cuba sebuah negara kecil yang tidak mengancam sesiapa, 'kami membantah penaklukan ke atas Iraq, kami cintakan keamanan, tidak ada terroris di sini..'katanya kemudian menterjemahkan padaku tulisan di billboard besar tepi jalan dengan gambar Fidel Castro yang berbunyi 'sahabat, kita dijalan yang betul'. Kemudian di simpang jalan yang lain kelihatan beberapa bilboard dengan imej George Bush bertaring dengan lelehan darah, ada juga gambar presiden Amerika Syarikat dengan tanda hasil dari campuran Hitler dan seorang pengebom kapal terbang Cuba yang mendapat perlindungan politik di U.S.A terdapat tulisan huruf besar bermaksud 'TERRORIS SEBENAR'.
Boyeros 40 minit dari Miramar, Ia adalah kawasan pertanian dan penternakan lembu ada juga stadium kecil untuk sukan rodeo. Di Galeri Boyeros kami berbincang dengan pengarah pameran, pengarah galeri dan wakil dari municipaliti Boyeros dengan Hubert sebagai penterjemah kami. Galeri dua tingkat bersebelahan dengan pejabat kemasyarakatan daerah dan berhampiran dengan sekolah tekni itu dikhaskan untuk karya dari Malaysia. Kami ukur dan mula rancang perletakan disamping minta itu dan ini termasuk renovasi dinding dan tingkap galeri. Berita sampai yang peti Malaysia dari Paris belum sampai lagi kena tunggu lagi enam hari. Tak apa kita siapkan apa yang patut dulu dan urusan dengan kastam dan kedutaan.
Habana Vieja
Kami ada lebih kurang dua minggu lebih di sini. Setiap hari dengan mengadiri perasmian dan pelancaran pameran. Menarik juga apabila ada pelancaran khas untuk katalog Biennale di Wilfredo Lam Center di Habana Vieja (Havana Lama). Di sini merupakan pejabat protokol dan pusat urusetia. Semua peserta boleh menggunakan segala kemudahan di sini termasuk internet, komputer, telefon dan perancangan dengan para kurator. Malam pelancaran amat ringkas dengan ucapan presiden Plastic Art Council dan wakil dari yayasan Wilfredo Lam. Kemudian ada persembahan muzik bertali oleh sekumpulan pemuzik yang cantik-cantik dan dipimpin oleh.. Manon toleh ke telinga aku dan berbisik dengan kuat oleh kerana dewan yang hingar 'Raja Ahmad'. Aku tengok lelaki tu 'a.. a.. la kalau tempat kita tu Raja Ahmad lah' sambil melihat pemimpin orkestra itu yang mempunyai potongan, gaya dan rambut macam Raja Ahmad. Lelaki itu sebenarnya seorang konduktor dan profesor muzik klasikal di salah sebuah institusi seni terkenal di Habana.
Habana adalah sebuah kota lama yang dibina oleh penjajah Sepanyol di abad ke 16. Columbus juga telah melarikan diri ke sini selepas di tuduh sebagai pengkhianat oleh Kerajaan Sepanyol, Cuba (disebut kuba) merupakan kawasana strategik pelindungan dan pelabuhan lanun-lanun Carribean di zaman dahulu jesteru menjadi pilihan sebagai tempat kegemaran kepala-kepala mafia di awal abad ke 20 untuk menyorokkan harta dan melabur di sini. Penduduk di sini terdiri dari bangsa Afrika, kaukasia dari Sepanyol dan Russia. Tiada orang asal di sini semuanya habis dibunuh dan mati akibat dari jangkitan penyakit yang dibawa oleh penjajah. Teringat aku semasa di National Museum de Bella Arte kami melihat sebuah catan naturalis zaman kolonial oleh Armando Manocal (1863-1942) bertajuk Valentin Sanz Carta Las Malagas. Catan berukuran 6 x 6 kaki ini di lukis dengan begitu indah ; langit biru, pohon-pohon tropika kemudian di tengah-tengah yang mendominasikan catan ini ialah figura seorang lelaki asli Amerika yang bercawat tidak berbaju dengan kepala sedikit mendongak diikat tangan dan tubuhnya pada sebatang kayu, di bahagian kaki terdapat unggun kayu api dan dikelilingi oleh askar Sepanyol yang menjulang kapak dan tombak yang berbentuk salib, serorang paderi dengan tangan memegang tasbih sedang membuat tawaran kepad lelaki ini. Beberapa hari kemudian melalui Ambassador Zainol juga dari Hubert sendiri barulah saya tahu cerita sebenarnya tentang catan itu. Ceritanya pada zaman penjajahan dahulu muncul seorang pahlawan tempatan yang memberi tentangan sengit kepada Sepanyol kemudian beliau berjaya ditangkap dan akan dijatuhkan hukuman bakar oleh penjajah kerana beliau merupakan bukan penganut Katolik dan dianggap sebagai kafir. Paderi datang menawarkan pengampunan jika dia sanggup menerima ajaran Katolik dan akan masuk ke syurga selepas mati nanti. Pahlawan ini bertanya pula kepada paderi “adakah di syurga nanti aku akan berjumpa dengan orang-orang putih seperti kamu?”. Dengan penuh yakin “ya” jawap paderi. Maka pahlawan itu menjawab “ kalau begitu aku lebih rela mati dan masuk ke neraka dari ke syurga hanya untuk berjumpa dengan orang putih (penjajah) seperti kamu lagi..”. Ini merupakan karya sejarah yang memberikan kesan yang amat mendalam terhadap semangat perjuangan dan revolusi rakyat Cuba sehingga sekarang. Semasa dalam muzium tu Khazrul berbisik pada aku “hebat koleksi depa..” “ni baru National Art Gallery”. Aku tanya Khazrol “ kita tak ada works macam ini, yang rakyat senang faham..”. Kemudian Khazrol balas “ada'” Aku tanya siapa? “Ismail Embong” katanya. Kemudian kami ke sayap seni moden...
Maka dengan cerita itu mengingatkan aku tentang jawapan-jawapan umum tentang Malaysia yang aku dapat dari kebanyakkan orang di Habana hari ini dan di Santiago, Chile beberapa tahun sebelumnya. Kata mereka “ saudara dari Malaysia, ya.. Sandokan la tigre de Malaysia” (sambil menggenggam dan mengagngkat tangan paras siku di pinggang ) Sebelum ini aku hairan apa istemewanya animasi Sandokan tu, kebanyakan kawan aku dan anak-anak mereka pun tak peduli sangat dengan cerita tu. Mungkin ada pilihan lain di Malaysia. Tetapi di negara-negara ini dengan animasi itu mereka dapat mengenal Malaysia dan yang lebih penting ialah cerita perjungan Sandokan menentang penjajah di Borneo itu begitu berkesan kepada rakyat yang negaranya sentiasa ditiup semangat revolusi dan sangat anti dengan penjajahan empirealis. Betul, kesamaan frekuensi atau budaya popular dari geografi dan latar masyarakat akan member kesan yang berbeza kepada satu karya yang sama.
Biennale
Malam 27 Mac kami berangkat ke majlis perasmian Novena Habana Biennale di La Fortaleza San Carlos de la Cabana. Kami sepakat untuk tidak pakai jaket sebab cuaca semakin panas. Tempat ni terletak diseberang sungai Habana lama dan bas kami melalui terowong bawah sungai untuk ke sana.
Kami dilepaskan masuk ke dalam kota oleh pengawal sebaik ternampak tag biennale yang kami pakai. Bersama kami ada artis, kurator dan penyelidik dari Venezuela, Kanada, Mexico, USA, Peranchis, Norway dan Jepun. Semua orang berjalan mengikut arus laluan ke dalam terowong pintu gerbang melepasi jambatan besi dan dua lapis parit dalam buatan manusia. Ramai-ramai ke kanan dan seperti jalan mati semuanya berkumpul di satu dataran luas atas bukit kota San Carlos de la Cabana. Lebih kurang tiga ribu orang melihat sana sini dan berbual. Di kanan kelihatan tembok penjara kolonial yang di ubah sel-selnya menjadi galeri.Di kiri pula susunan meriam atas tembok menghala ke sungai dan bandar Habana Lama. Petang tu angin agak kuat dan sejuk sekali..Perasmian dilakukan oleh Menteri
Kebudayaan Cuba dengan ucapan dalam bahasa Sepanyol. Aku tengok Masno khusyuk dan Kahzrol hilang..cari shot terbaik untuk buat still. Di sekeliling tiada kerusi banquet beriben, tiada khemah VIP, tiada katerer sibuk hidang roti jala dan yang paling nyata tiada karpet merah dari tangga sampai stage.
Yang ada adalah pentas untuk persembahan Cuban Jazz, platform untuk ucapan perasmian, barisan meja menyediakan minuman dan makanan (kena bayar sendiri kalau nak minum dan makan) dan yang paling ketara ialah semangat semua orang untuk meraikan seni dan bukan meraikan VVIP. Teringat aku semasa kami dijemput untuk berjumpa dengan Menteri Kebudayaan Cuba di pejabatnya di Kementerian Kebudayaan. Semasa semua orang duduk di meja mesyuarat yang panjang tu. Aku lihat di kerusi pengerusi ada seorang lelaki yang aku sentiasa nampak semasa perasmian pameran sebelum ini, dia nampak ringkas dengan kacamata besar, rambut panjang kemeja tanpa tali leher. Aku tanya Yana (pelajar pengajian antarabangsa dan sukarelawan biennale) “Menteri tak jadi datang ke? Dia hantar wakil je..” “Taklah, dia itulah menteri” jawap Yana. Aku tunduk, terlupa sebentar yang fikiran aku dah direncana dalam kempompong protokol bahagian atur cara di negara aku. Menteri mesti pakai macam 'menteri', ada orang kiri dan kanan, ada body guard, ada protokol itu dan ini.. Kembali ke meja mesyuarat dengan bantuan penterjemah bahasa Inggeris dan Peranchis, menteri mengalu-ngalukankan kami dan menceritakan serba sedikit tentang kenapa perlu ada binennale katanya seni merupakan pengucapan yang lebih tinggi dari embargo Amerika Syarikat, fahaman politik, sempadan geografi, bahasa dan bangsa. Walauapapun sekatan yang dibuat ke atas Cuba, seninya tetap terus hidup dan yang lebih penting wang bukanlah penentu segala-galanya bilamana mereka hanya membelanjakan 120 ribu CUC (120 ribu Euro) untuk menganjurkan Biennale yang disertai oleh 240 peserta dari 55 buah negara selama sebulan!. Dalam kepala aku berkata apa susahnya kan semua syarikat milik kerajaan dan semua comrade sedia berkhidmat!.
Tempat ini meningatkan aku kepada Padang Kota Lama, aku katakan kepada Manon kalau kita nak buat biennale kita buat dekat Padang Kota tapi tempat tu lebih kecil dari la Fortaleza ni. Manon kata “YTL dah buat dah”..
Biennale yang ke sembilan ini bertemakan “The Dynamic of Urban Culture” masa makan malam di rumah Duta Malaysia sempena meraikan delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia yang datang untuk membincang hubungan dua hala Malaysia – Cuba aku ditanya oleh Prof. Dr.Sakinah “ Village culture tak dinamik ke?”...Di Fortaleza ni semua karya di pamerkan dalam ruang bekas sel zaman dahulu sesuai dengan persoalan yang dibawa iaitu “penyeksaan untuk mendapatkan maklumat” ia begitu siknifikan sekali dengan isu Guantanamo yang kerap ditekankan oleh pihak Cuba. Cuma rata-rata karya kelihatan sudah dapat dijangka, hinggakan beberapa karaya akan mengingatkan aku kepada kotak-kotak Ise, pakard photo studio I-Lann, arte povera, dan video, foto, video, foto adalah yang paling popular. Dan yang terbaru bagi aku yang ia sedang dimanipulasi oleh artis new media ialah internet dan imej dari satelit menggunakan perisian Google Earth; aku bilang berapa orang yang guna aplikasi ini untuk laporkan kelak pada Sau Bin!..
Auto Stop
Di setiap simpang lampu isyarat di bandar. Pada waktu pagi, tengahari dan petang sentiasa ada orang berdiri untuk menumpang mana-mana kenderaan yang kosong dan ke destinasi yang sama. Perhentian ini dipanggil auto stop ( auto bermaksud self). Mereka tanpa rasa curiga pada penumpang atau pemandu akan saling menolong dan berkongsi kereta. Kata mereka tidak perlu risau tentang perlakuan jenayah di sini, kami boleh berunding sesama sendiri. Teringat aku semasa jalan di bandar lama Habana, lelaki yang ingin menawarkan khidmadnya sebagai pemandu pelancong mengalu-alukan kami dengan berkata “ selamat datang ke Habana, satu juta orang awam dan satu juta polis”. Begitu juga kami diingatkan oleh 2nd Secretary Kedutaan Malaysia di Habana “ jangan takut jalan kat sini, siang malam selamat, polis ada disetiap 10 meter persegi, dan polis dia tak korap”. Dengan jaminan keselamatan, budi bahasa dan semangat budiman mereka ini aku teringat dengan kembara 'Motorcycle Diary' Che Guevera dan kesinambungan oleh pelajar-pelajar universiti di Chile sebagai satu inisiasi untuk menjadi 'manusia sebenar' dengan merentas lebuh raya banjaran benua Amerika Selatan atau kembara 'hitch hike' antara bandar di Latin Amerika. Aku bandingkan dengan keadaan di tempat aku sekarang ini. Aku pernah diceritakan oleh Razak Abdullah dia pernah tumpang lori ikan untuk ke Kuala Lumpur semasa belajar di tahun 70 an, 'Sang' sahabat aku 'hitch hike' ke Trengganu dapat tumpang jip Dr. Zaini (TransAfrika), Latiff Mohiden masa remajanya pernah berbasikal keliling Malaya ketika cuti sekolah, aku pun pernah solo dengan motorsikal aku dari Sungai Petani - Machang - Kuala Trengganu - Kuantan - Shah Alam dan balik melalui Ipoh, Kuala Kangsar terus ke Sg. Petani. Aku rasakan semangat kembara ini semakin kurang mungkin disebabkan sikap kebergantungan pada duit ; 'ada duit semua boleh jadi', bukan pada semangat kembara ini rasaku mungkin pada indikasi terhadap sifat bangsa kita dalam budi bahasa, tolong menolong dan percaya sesama sendiri semakin pupus.
1 comment:
wow!
Post a Comment